Ahad, 31 Mac 2013

:( entah kenapa..

bismillah. segala puji bagi Allah, sang pemilik hati.

kenapa begini? berkali-kali Allah bagi peringatan, nasihat dan teguran melalui ujian. supaya hati tetap kuat dan bertahan. mana hasilnya ujian-ujian yang sebelum ini? hingga masih terbit titisan jernih seperti anak kecil hingusan, yang ternyata tak mampu berdiri dengan kaki sendiri di tengah keramaian budak nakal yang memandang keji. inikah catatan seorang pengembara di tengah sahara'? hati yang kering kontang seperti tandusnya padang pasir luas terbentang di kiri dan kanan?
kembaramu bermakna. hayati, bukan tangisi. compang camping di tengah permusafiran, itu biasa. asalkan masih tetap berusaha.
Allah, kurniakan daya buat penguat hati yang sedang robek ini. koyak, luka, berdarah. parah. apa lagi.. entah.

Allah Engkau dekat. Allah engkau dekat. bantu hati hamba. kuatkan hamba. rasa berpinar. bahkan langsung tak berdaya.

~TUAH SUJANA~
penulis muda yang pernah menjadi teman seperjuangan. hidupnya seakan benar-benar dikelilingi tuah. Tuah sujana. musafirmu seperti terlalu senang. catatanmu seperti tiada yang buruk pada khayalan. kenanganmu seperti semuanya tiada yang usang. senang, bahagia, bahkan sesekali aku menitiskan airmata, membaca penulian-penulisan yang sangat menyentuh rasa dan kenangan. kerana teman yang seorang ini jauh ke depan, sedangkan musafirku ternyata lebih panjang di negara orang.

seringkali lari dari kenyataan. bukankah itu tanda diri bukan seorang pejuang? sering sahaja takut berdepan  keputusan. bukankah itu namanya kurang rasa yakin dengan Tuhan? mampu berkata-kata hebat di depan semua orang, tapi hakikatnya diri sendiri lemah mendepani ujian.


tuah sujana~
Syahdu. Di sini, kuimbas pengalaman-pengalaman manusia; derita cintanya, aneka kecewanya, kemudian kekuatannya sesudah kejatuhannya. Menjadi gema hati sendiri di ruang vakum.

Barangkali aku belum cukup mengerti semua. Belum cukup belajar tentang keriuhan jiwa. Hanya terimbau kata-kata Rumi:
"Travel brings power and love back into your life." -- Rumi.     

entah kenapa hati diragut sayu begini. rasa berdosa, rasa kurang perasaan kasih seorang hamba kepada hamba lainnya. hingga mereka- mereka jatuh tanpa aku membantu apa-apa. hingga berita tersebar ke seluruh semesta, tanpa aku mengerti apa-apa. hingga aku memburuk tanpa kata. di tengah lautan manusia yang sudah mengerti semua. lebih dari aku, lebih dari mereka. yang tinggal apa? aku bersama tangisan panjang secara rahsia, tanpa ada yang peduli tentangnya.

hakikatnya apa? mereka menganalisis khabar yang tidak jelas tentangnya. aku lebih tahu, dia lebih tahu, kami lebih tahu. mereka? tidak sejauh itu, walau panjang mendengar cerita sang kaduk yang terus-terusan bercerita. itu salah faham, yang hanya saya, dia, dia dan dia sahaja. dan pasti, Sang Maha Mencipta yang lebih tersangat tahu tentangnya. apa daya kami bila semesta bercerita tentangnya tanpa rasa apa-apa. dan kerana mereka tidak tahu, kami relakannya, cuba berlapang dada tanpa rasa.

sahabat, ukhwah fillah. ini yang kita akan rindukan nanti. percayalah. aku pernah merasa. jadi, bertabahlah untuk seketika, walau sakit menjerut rasa.




Sabtu, 23 Mac 2013

al-qalb & zikir

bismillah..alhamdulillah, thumma alhamdulillah.

habis exam. dan hati terasa kosong.
kalau hari hari sebelumnya masa diisi untuk mentelaah buku walaupun xdela mentelaah sgt  atau bersama-sama housemate atau ikut hadir program2 yang dianjurkan persatuan, hari ini terasa kosong. ade keje, tapi tak terbuat. ade yang masih belum selesai, tapi xjalan. sudahnya, lama termenung. dan pasti, terhabis banyak masa utk itu.

kenapa kosong? entah. diri tiada jawapan utk itu.
solat, tapi sedar-sedar sudah di tahiyyat akhir. apakah ini semua? sakit hati. tension.
tapi tadi penghujung rasa lemah hati itu.
solat maghrib, housemate imam. usai solat, dia ketuai zikir..alaa, zikir budak2 asrama time skolah menengah dulu..camtula.
tetiba rasa tersentuh. terlupa sebenarnya. lamanya tinggalkan zikir semacam itu. lama.. lama sangat.
astaghfirullah. sungguh2 terlupa.

teringat dulu, time sekolah menengah, seringkali menangis. hanya kerana zikir yang satu itu. usai solat, zikir itulah yang sering didengarkan oleh imam. dan kami, ikut berzikir. hingga tanpa sedar, zikir2 itu tersebati dengan sendirinya dalam hati. kalau dah rasa cm lama xberzikir, duk ramai2, zikir sama2. sama2 hayati, sama2 nangis..rindunya zaman itu, kan sahabat?

itu sangat indah. kerana kesannya, masih tersemat utuh dalam hati. bahkan hinga kini. rindu suasana itu. bergelap dalam surau sekolah, bertemankan hanya dengan cahaya lampu jalan dengan samar cahayanya, kami alunkan zikir itu. bergelap, walaupun tidak gelap secara total. kerana lebih mudah untuk menghayati. bergelap supaya kita sedar, hati yang penuh titik dosa dan noda perlukan cahaya. bergelap, supaya hati yang keras tak malu menangisi dosa, bergelap, supaya hati yang ego tak malu menangis ditengah lautan manusia. rindu. teramat.

tapi zikir lama itu lama sudah hilang, haus dek zaman. tidak pada yang lain. barangkali hanya aku. ya, hanya aku. aku yang lupa diri. yang hakikat sebenarnya aku ini hanya sekadar seorang hamba.
tapi.. ada sebab. aku berzikir juga, tapi dengan zikir yang lain. tidak berzikir menggunakan zikir yang satu itu tidak bermakna tidak, kn.
ahh. alasan!
zikir itu, andai kau alunkan, akan memakan masa belajarmu kah? tidak. bahkan semakin senang mengingatinya bukan? jika mentelaah buku2 pelajaran kau mulai dengan zikir, pasti mampu jadi orang yang hebat jiwanya.
zikir itu, andai kau alunkan sebentar, akan meresahkan hati kah? tidak bukan? bahkan zikir itu yang selama ini menjadi peneman, tika apa jua keadaanmu. itu yang menjadi teman.. lupa kah?
zikir itu, hanya boleh dibaca hanya selepas solat sahaja, begitukah menurut sangkaanmu? huhh. jika begitu, akalmu benar2 pendek. jiwamu sempit, hatimu kotor.kau belajar agama. justeru, ke mana hilang semua ilmu itu?
Allah.

zikir yang tadi kami alunkan itu, sebentar cuma, tapi menggamit rasa.
hati merintih hebat, ingin menangis, tapi malu.
di kiri sahabat, di kanan juga sahabat. kerana itu aku malu.
pertanyaan. sahabat itu utk apa? hanya utk bergembira dengan dunia sahaja, dan bukan bersama mereka berkongsi kebahagiaan utk akhirat?
Allah. sakit. tertampar lagi.
tidak malu menangisi dunia di hadapan mereka, tapi malu menangisi perkara akhirat?
TUHAN, apa sudah jadi dengan dunia? Allahu Allah.. T_T
aku malu.
biarlah. malu itu tandanya jiwa masih punya rasa. jiwa dan hati masih bergerak. alhamdulillah.. walau cuma itu yang termampu. malu. teramat.

buku subjek keajaiban sains dlm al-Quran kubaca.
'al-Quran mampu menjadi penawar kepada hati. terbukti pada sains.'
sepotong ayat di beberapa baris selepasnya
 ' suara juga dpt memberi kesan kpd hati. al-qalb. dan suara apakah yang lebih baik dari al-Quran?' 
tiada.
al-Quran, itu sudah yang terbaik. tiada suara yang lebih dapat menjadi penawar hati, melebihi suara yang mengalunkan bacaan al-Quran.
jadi, baca al-Quran itu. bukan hanya berzikir semata.


Allah. jaga hati hamba. juga ibu bapa tercinta hamba. juga adik-adik kesayangan hamba. juga sahabat2 seperjuangan hamba.
bertabahlah dengan ujian dunia.
training sebenar bukan hanya di dlm dewan ketika ketika belajar apa itu menerima. training yang sebenar  ada pada kehidupan kita diluarnya, ketika kita cuba bertabah dengan ujian dunia dan segala isinya, dan mencuba menjadi yang terbaik pada pandanganNya, bukan sekadar di mata manusia.
semoga Allah redha.




Ahad, 10 Mac 2013

seorang tua tak berdaya

bismillah.. segala puji bagi Ar-Rahman, yang masih memberi seluas-luas kesempatan, untuk kita yang serba hina ini menghirup oksigen-oksigen buatanNya, tanpa sedikitpun bayaran.. segala puji bagi yang Maha Baik, memberi kesempatan untuk mata yang selalu bermaksiat ini masih tetap dapat melihat, tangan dan kaki yang sentiasa bermaksiat ini masih tetap dapat bergerak bebas, hingga hidup sedikitpun tidak terasa susah..Allahu Allah.. berdosanya hamba kerana sentiasa terlupa.

perjalanan ke kuliah.
tangan yang cedera kerana bermain bola jaring terasa sengal- sengal dek hembusan angin musim sejuk, yang menusuk ke tulang paling dalam. empat kecederaan sebenarnya. hanya pada sebelah tangan. dua kecederaan kekal, dua lagi mungkin kekal, mungkin tidak.. kesembuhan total teramat diharapkan, tetapi harapan hanya akan tinggal harapan bila kecederaan tidak mendapat rawatan sebaiknya. nak mencari tukang urut, susah benar.. mereka juga belajar, mereka juga sentiasa sibuk berpersatuan, belajar mengaji dari sheikhah arab. sekali dua merawat, mungkin tak terasa terbeban, tetapi bila berkali-kali, segan. terpaksa mengganggu walaupun diri sudah tersangat malu. kesembuhan, seperti sudah tersangat jauh dari itu. melainkan Allah yang Maha Kuasa mengizinkan tangan kepunyaan seorang hamba hina ini sembuh.seperti orang biasa. seperti sediakala.
arghh..!
tension.

nak mengangkat, menolak, menarik, semua itu kemampuan yang dulu.
sekarang? sudah jauh dari mampu.
mengangkat bagasi di airport pun perlu kasihan belas orang, sedang diri ini di pandangan mereka.. kuat, tabah, mampu.
ituu zahirnya, yang di dalamnya bagaimana? menangis. meraung. sakit! sangat..

sengal-sengal masih terasa.
'kalau dulu tak terlalu berkorban untuk orang lain, tak seperti ini kan? jadinya siapa yang salah? diri sendiri atau mereka? arghh.. tak tahu.
kata-kata seorang teman "dah tu, nak marah siapa? nak marah TUHAN? nak marah ALLAH?"
pappp!! tertampar.

tidak. langsung tidak. DIA mentakdirkan ini ada hikmahnya. sudah terlalu lama barangkali, tangan yang mampu bergerak berkerja ini buat benda-benda yang DIA tak redha. sudah terlalu lama barangkali, tuan punya tangan yang dipinjam ini sudah terlalu leka,hingga terlupa mensyukuri nikmatNYA. hingga terlupa pada tuan sebenarnya yang paling berkuasa.

berjalan lagi, memegang tangan yang masih terasa sengal dicucuk angin tajam, terus ke sendi, masuk ke tulang dalam.
'astaghfirullah'.
terpandang seorang pakcik pertengahan umur, tangannya cacat sebelah, kaki tak mampu berjalan seperti orang kebiasaan, tapi berkerja dengan sangat susah payah. berjalan dengan sangat perlahan, jauh ke sana ke mari menyiram bunga di halaman jami'ah. luas benar kawasan jami'ah itu. dengan tangannya yang cacat sebelah, bersusah payah memegang paip sebesar lengan kurusnya pada sangkaanku. itu sangat susah. itu sangat payah. lebih seksa dari aku yang masih punya tangan yang sakit biasa-biasa seperti ini. apa sangatlah kudratnya dibanding aku. tapi masih mampu berkerja dengan senyuman di bibir lesu tak bermaya. senyuman itu malah tidak dipandang sesiapa, tapi aku lihat wajah tuanya bekerja dengan bahagia. bahagia kerana apa? tidak dapat aku pastikan.

satu bait syiir arab yang tak mampu aku lupa hingga saat ini,
'diri itu, apabila diajarkan sifat qana'ah, ia akan merasa cukup.
tetapi apabila ia dinyalakan sifat bermewah-mewah, ia akan mengusai diri dan tidak akan pernah merasa cukup.

itu, bait syiir itu benar-benar buat hati tidak keruan, terpukul dengan kata-kata tajamnya, tersiat hati dek kerana ketepatannya.
itu, Allah takdirkan kau terpandang wajah tulus seorang tua yang tak berdaya, supaya hati tersentuh, akal berfikir.
samakah orang yang berfikir dengan orang yang tidak berfikir? tidak. pastinya tidak.
nur, sekelilingmu, Allah datangkan ujian, peringatan, nikmat. semua itu supaya hati yang buta itu menjadi celik.fikiran gelap itu diterangi cahaya. bercahaya seperti namamu.
Allahumma ameen.




Sabtu, 9 Mac 2013

~all is well~


“ALL IS WELL” – SEMUANYA BAIK BELAKA…

ini, aku dapatkan sebuah kesedaran ketika membacanya dari blog ustaz pahrol mhd juoi. kisahnya mudah, tapi hati yang rasa terusik, jauh lebih bahagia, apabila diri mula sedar, apa erti hidup di dunia, bercucuk tanam di dunia, menuai di akhirat sana. perkongsian ini hanya biasa, tapi bila ia mula mengetuk tangkai hati yang dahan imannya masih punya rasa bertuhan, ia menjadi sesuatu yang bermakna..
terimakasih Tuhan.
31DIS
200236712-001










Pernah saya katakan, kita akan diuji melalui apa yang kita sayangi dan dengan apa yang selalu kita katakan. Inilah hakikat yang saya alami semasa cuba berdakwah dalam rangka untuk mendidik diri disamping mendidik orang lain. Saya cuba memujuk hati dengan berkata, “ketika Allah menguji kita dengan apa yang kita sering dakwahkan kepada orang lain, itu petanda Allah mengingatkan kita ketika kita mengingatkan orang lain.” Agar kita tidak memperkatakan apa yang tidak amalkan…
Namun, suara hati juga mengingatkan, supaya terus melakukan kebaikan (berdakwah)… bukan kerana kita sudah baik tetapi itulah cara kita hendak menjadi orang yang baik. Ya Allah, berilah petunjuk kepada kebimbangan hati ini… kerana ujian di jalan dakwah ini kekadang dirasakan terlalu berat berbanding iman yang begitu tipis. Hati sering dipujuk untuk mengakui satu hakikat: Allah tidak akan menguji di luar kemampuan seorang hamba untuk menghadapinya.
Sahabat-sahabat dan saudara-saudaraku, aku sedang diuji. Begitu juga dengan kamu, dan kita semua. Lalu untuk memujuk hati ketika menerima tarbiah Ilahi ini saya nukilkan tulisan ini untuk saya dan kita semuanya… Tajuknya: ALL IS WELL – semuanya baik belaka.      
“Ustaz kata kecemerlangan dunia itu bayangan kecemerlangan akhirat?”
“Ya, “akui saya pendek.
“Atas dasar apa?”
“Berdasarkan kata Imam Syafei, dunia itu adalah tanaman untuk akhirat.”
“Maksudnya?”
“Dunia tempat kita menyemai, akhirat tempat kita menuai. Jika kita hendak merasai buah yang manis dan banyak , sudah sewajarnya pokok yang kita tanam baik dan subur.”
“Saya belum faham…”
Saya merenung wajah pelajar yang sebaya dengan anak saya itu. Dia benar-benar inginkan penjelasan. Terasa masih jauh pendekatan dakwah saya berbanding ulama-ulama silam – yang bercakap dengan jelas, tepat dan lemah lembut.
“Begini nak… jika kita hendak menikmati buah yang manis di akhirat, mestilah pohon yang kita tanam di dunia subur. Maksudnya, di dunia lagi hidup kita mesti cemerlang, itulah petanda di akhirat nanti kita akan cemerlang.”
“Kalau begitu malanglah kalau kita jadi orang miskin, pekerjaan kita buruh, pangkat kita rendah dan kita jadi orang yang biasa-biasa sahaja di dunia.”
“Mengapa begitu?” saya bertanya kehairanan.
“Ya, bukankah orang miskin, marhein dan orang yang biasa-biasa itu dianggap tidak cemerlang di dunia?”
Saya mengurut dada. Mujur dia bertanya.
“Perspektif Islam mengenai kejayaan berbeza dengan takrifan majoriti masyarakat hari ini. Menjadi miskin, seorang buruh dan marhein setelah berusaha bersungguh-sungguh,  bukan bererti gagal. Itu hanya ujian dalam kehidupan.”
Di dalam hati saya bertekad ingin menjelaskan konsep hidup di dunia sebagai ujian terlebih dahulu. Setelah itu baru saya ingin menerangkan erti kejayaan dalam Islam. Ya, lulus ujian baru berjaya.
“Apa maksud dengan ujian kehidupan?” tanyanya lagi. Alhamdulillah, dia membuka ruang untuk saya memberi penjelasan.  Memang benar seperti yang selalu dikatakan, pertanyaan itu kunci kepada ilmu.
“Bila Allah beri kita kaya, belum bererti Allah memuliakan kita… Allah baru menguji kita. Begitu juga apabila Allah berikan kemiskinan buat kita… itu bukan menunjukkan Allah sedang menghina kita tetapi sebaliknya Allah sedang menguji kita. Bukan itu sahaja, apabila Allah kurniakan kuasa, menarik kuasa, rupa yang cantik, rupa yang buruk, ternama atau biasa-biasa sahaja, semuanya ujian untuk kita.”
“Ujian untuk apa ustaz?”
“Ujian sama ada kita mengingati-Nya atau tidak, mentaatinya atau tidak, “ jawab saya.
Melihat dia terdiam, saya menyambung penjelasan, “ orang miskin boleh berjaya jika dalam miskinnya dia mengingati Allah dengan kesabarannya. Orang kaya, mengingati Allah dengan kesyukurannya. Yang berkuasa, menegakkan keadilan kerana Allah. Yang marhein, patuh dan setia kerana Allah juga. Situasi dan kondisi yang kita hadapi dan alami  bukan penentu kejayaan kita tetapi respons kita terhadap kondidi itu yang lebih penting. Apakah kita bertindak balas dengan apa yang kita hadapi seperti selayaknya seorang hamba Allah? Seorang hamba Allah sentiasa mengingati Allah dalam apa jua keadaan, positif mahupun positif…”
“Maksudnya, yang negatif pun jadi positif?”
“Ya, semuanya baik, bergantung pada tindak-balas diri kita. ‘All is well’ – semuanya baik. Ya, semua yang datang dari Allah adalah baik belaka kerana semua itu hanya ujian buat kita. Jika kita menghadapinya dengan hati yang sabar, syukur atau redha… ya kita berjaya!”
“Jadi ada orang kaya, berkuasa dan ternama di dunia ini boleh dianggap gagal?”
“Bukan boleh dianggap gagal tetapi  mereka memang gagal. Sekiranya dengan ujian kesenangan, kekuasaan, kenamaan dan kecantikan itu mereka tidak bersuyukur, zalim, kufur,  malah takbur kepada Allah dan sesama manusia.  Sebaliknya orang miskin, marhein dan melarat itu hakikatnya berjaya sekiranya mereka mengingati Allah dalam kesabarannya.”
“Tetapi kalau mereka miskin kerana malas… tidak gigih mencari ilmu, menambah kemahiran  dan ilmu, lalu mereka sabar, apakah itu juga boleh dikatakan berjaya?”
Kritikal betul cara berfikir pelajar ni, bisik hati saya.
“Orang malas bukan orang yang ingat Allah. Sabar itu bukan pasif dan tidak produktif. Sabar itu aktif dan produktif.  Orang yang ingat Allah, akan ingat akhirat. Orang yang ingat akhirat akan sentiasa sibuk di dunia…”
“Orang yang ingat akhirat akan sibuk di dunia?”
“Ya, sebab dia sedar dia hendak menuai di akhirat, jadi sibuklah dia menanam di dunia. Dunia ini jadi kebunnya… Lihat orang berkebun, dia akan  sibuk menebas, menggempur, menyemai benih, memberi baja, mengairi, menjaga tanamannya dari serangga dan macam-macam lagi… Begitulah orang yang hendak menuai di akhirat, akan sibuk di dunia.”
“ Agaknya inilah yang dimaksudkan orang yang paling bijak ialah orang yang mengingati mati dan membuat persediaan untuk menghadapinya…”
“Benar. Benar sekali. Sebaliknya, sipemalas ialah orang yang dungu, bukan orang yang sabar. Dia tidak akan dapat pahala sabar… sebaliknya mendapat dosa kerana kemalasannya.”
“Malas itu satu dosa?”
“Ya, malas itu satu dosa. Cara bertaubat dari dosa malas ialah dengan gigih bekerja. Kita adalah khalifah di muka bumi. Seorang khalifah wajib memberi kebaikan kepada diri, orang di sekelilingnya dan alam seketiranya. Untuk itu dia mesti rajin. Bagaimana seorang pemalas boleh melaksanakan tugasnya sebagai khalifah?”
Saya teringat khutbah yang baru saya dengar bulan lalu. Yang boleh saya simpulkan daripada kata khatib itu ialah, keadaan yang kita hadapi atau apa yang kita miliki, bukan pengukur kejayaan kita. Sebaliknya, kejayaan kita terletak kepada sejauh mana diri kita mengingati Allah ketika memiliki sesuatu atau semasa kita menghadapi suatu situasi.
Akan saya sampaikan semula apa yang saya terima kepada pelajar itu, insyaAllah. Ya, saya masih ingat ketika khatib itu menegaskan:” Kejayaan Nabi Ibrahim AS bukan kerana baginda tidak terjejas oleh api yang dinyalakan oleh Namrud tetapi kerana ketika di dalam nyalaan api itu Nabi Ibrahim mengingati Allah, kerana kalau kejayaan itu diukur pada tidak terjejas jasad baginda oleh api, apakah kita mengatakan bahawa ‘ashabul ukhdud’ yang terbakar kerana mempertahankan tauhid itu tidak berjaya? Apakah Masyitah dan anaknya yang terkorban apabila dihumban ke dalam api oleh Firaun itu tidak berjaya? “
Khatib itu menambah lagi:” Jika kita katakan, kejayaan itu kepada keadaan Nabi Ismail yang tidak jadi disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim AS dengan digantikan dengan seekor kibyas… apakah  Nabi Zakaria AS yang syahid dan terbelah dua kerana digergaji oleh musuh Allah itu tidak berjaya? Apakah Sumayyah yang mati ditusuk lembing oleh kafir Quraisy itu tidak berjaya?”
Tanpa disedari air mata mengalir apabila Khatib itu berkata, “tuan-tuan, Nabi Ibrahim, Nabi Zakaria, Sumayyah dan Asyhabul Ukhdud semuanya berjaya… walaupun situasi ujian yang mereka hadapi berbeza. Justeru, yang menentukan suatu kejayaan  bukan situasi tetapi respons hati mereka ketika menghadapi  situasi itu. Respons hati mereka tetap sama, walaupun situasi yang mereka hadapi berbeza.”
“Respons hati mereka hanya mengingati Allah,” ujar pelajar itu.
“Ujian tidak akan menghina atau memuliakan kita tetapi reaksi atau respons kita terhadap ujian itulah yang memuliakan atau menghinakan kita. Yang sabar dan syukur, jadi mulia… lalu mereka berjaya. Yang putus asa dan takbur, jadi hina… lalu mereka gagal. Sering diungkapkan oleh bijak-pandai, jika dapat limau manis, bersyukurlah. Sebaliknya jika dapat limau masam, jangan kecewa… buatlah air limau!”
“Jadi berjaya di dunia itu letaknya pada hati?” rumus pelajar yang bijak itu.
“Ya. Terletak pada ‘qalbun salim’ – hati yang sejahtera. Hati yang boleh dimiliki oleh sikaya, simiskin, ternama, marhein, sicantik, yang hodoh, pemerintah mahupun rakyat. Hati itulah yang dinilai oleh Allah di Padang Mahsyar kelak ketika semua anak-pinak dan harta-benda tidak berguna lagi…”
Saya menambah lagi,“ Hati yang ingat Allah pada setiap masa, ketika dan keadaan apa pun jua. Itulah kejayaan! Allah Maha adil tidak meletakkan kejayaan kepada yang lain kerana ujian hidup manusia yang ditakdirkan berbeza-beza. Namun berbeza-beza ujian itu matlamatnya sama… sejauh mana kita merasakan kita hamba Allah dan kepadaNya kita akan dikembalikan!”
“Bukankah itu makna ucapan istirja’ -  innalillah wa in na ilaihi rajiun? – kami milik Allah, kepadaNya kami akan kembali,” balas pelajar itu.
Saya mengangguk perlahan, seraya berkata, “hati itulah anakku… yang perlu kita miliki sebelum kembali. Itulah ‘syurga’ di hati kita. Itulah kecemerlangan di dunia yang menjadi petanda kecemerlangan akhirat. Jika di hati kita belum ada syurga itu ketika hidup di dunia… maka sukarlah kita mendapat syurga yang kekal abadi di akhirat nanti!”
“Apa yang perlu kita lakukan ustaz?”
Saya terdiam. Di dalam hati terlalu sebak. Masih jauh hati ini dengan ‘syurga’ dunia. Dan alangkah jauhnya dengan syurga  akhirat.
“Anakku, kita akan terus diuji. Beruntunglah kerana ujian ini masih ada. Allah masih sudi menguji kita. Hidup masih berbaki. Kalau gagal, kita masih berpeluang untuk mengulang. Mencintai syurga bukan bererti meminggirkan dunia… kerana ada ‘syurga’ di sini, yang wajib kita miliki sebelum layak menikmati syurga di sana.”
“Syurga di hati kita…”
“Yang ditempa oleh setiap hamba Allah yang sejati… dengan keringat, dengan air mata dan sesetengahnya dengan darah. “
“Hidup di dunia untuk menderita?”
“Tidak anakku… hidup di dunia untuk diuji. Kita akan tenang, berjaya dan bahagia selagi Allah ada di hati kita. Ingat, ‘all is well’, kerana semuanya dari Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  Bila diuji, jangan katakan.” ya Allah, ujian-Mu sangat besar. Tetapi katakan, wahai ujian, aku ada Allah yang Maha besar.”
‘Allah is bigger than your problems… insyaAllah, all is well!’ . Tetap adalah lautan kasihNya di sebalik ujianNya yang setitis.